Yang tersurat dan tersirat

SAYA sudah menonton video ucapan beliau di Parlimen, menonton video beliau dalam temubual di lobi Parlimen, dan membaca artikel ismaweb yang disebut.
1. Artikel di ismaweb tidak menyebut beliau menghina Islam. Mohon tidak diputar belit kenyataan.
2. Artikel ismaweb menyatakan tindakan pantas beliau untuk mendesak kerajaan meratifikasi ‘United Nations Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief’, yang mana memberi hak kepada semua manusia untuk mengamalkan dan menukar agama mereka sesuka hati tanpa boleh diambil tindakan oleh sesiapa.
3. Di Malaysia, jaminan untuk mengamalkan agama masing-masing telah pun termaktub dalam Perlembagaan Perkara 3 (1), dan tiada masalah bagi agama selain Islam untuk bertukar agama di Malaysia.
Kristian bebas tukar jadi Buddha, Buddha boleh tukar jadi Hindu, tiada halangan undang-undang.
4. Jadi, mengapa perlu dipersoalkan lagi tentang kebebasan agama di Malaysia?
Agama apa di Malaysia ini yang dipelihara undang-undang daripada penganutnya keluar?
Ya, agama ISLAM sahaja kerana Perlembagaan memberi ketetapan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan.
Perkara 11 (4) memberi peruntukan bahawa Undang-undang Negeri dan undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
5. Beliau menyebut-nyebut dalam ucapannya tentang kepentingan untuk melindungi hak beragama golongan minoriti seperti Syiah, Ahmadiah, dan Bahai.
Berdasarkan peruntukan dalam Perkara 11 (4) ini, Syiah, Ahmadiah, Bahai telah difatwakan sebagai ajaran yang bertentangan dengan aqidah Islam. Ini adalah untuk menyekat penyebaran fahaman ini di kalangan umat Islam sekali gus melindungi aqidah umat Islam di Malaysia. Orang Islam yang terlibat atau menganuti fahaman ini dikira sebagai murtad.
Rujukan:
[Bahai]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan Ajaran Bahai. Muzakarah telah memutuskan bahawa Ajaran Bahai adalah bukan ajaran Islam. Umat Islam yang terlibat dengannya adalah murtad. Oleh itu umat Islam adalah dilarang dan haram melibatkan diri dengannya dan siapa yang telah terlibat hendaklah segera keluar dan bertaubat.
[Ahmadiyah]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984 telah membincangkan Penyelewengan Qadiani/Ahmadiah. Muzakarah telah memutuskan bahawa Puak Qadiani/Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.
[Syiah]
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
– Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
– Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-Undang Islam dan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
6. Jadi, atas dasar apa beliau meminta ismaweb menarik balik artikel tersebut kerana ia tidak bercanggah langsung dengan ucapan beliau di Parlimen dan sidang media.
7. Izinkan kami rakyat Malaysia untuk menggunakan kemahiran kami untuk berfikir, menganalisis, dan mempraktiskan kebebasan bersuara dan memberi pendapat.
8. Boleh kita sama-sama hormati Perlembagaan?
Nurhazlin M Musak
Aktivis NGO
Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Celah Gelegar. 
Sumber: Artikel ini pertama kali dimuatkan dalam Facebook penulis dan Ismaweb.net memperoleh kebenaran untuk menyiar semula tulisan ini.


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top