PUTRAJAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan peguamnya untuk membuat permohonan kebenaran diikat jamin supaya tidak ditahan di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis ketika ditemui pemberita di perkarangan bangunan SPRM.
“Peguam nak bagi dia keluar, tetapi dia tak nak. Dia akan (berada) di sini sampai esok pagi dan dari sini pergi ke mahkamah,” katanya.
Ditanya mengenai perasaannya, Hamidah berkata: “Saya okey.
“Dulu, masa dia (jadi ketua) Pemuda Umno, dia ditahan 10 hari (di bawah ISA)…jangan bimbang, doakan untuknya,” kata Hamidah.
SPRM hari ini memaklumkan penahanan Zahid berhubung kes penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.
Zahid akan berdepan beberapa pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bekas timbalan perdana menteri itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 8 pagi esok untuk menghadapi pertuduhan tersebut.
Appear First on Malaysia Terkini