Menara FELCRA akan dijual (Jual ASET siapa pun pandai)


KUALA LUMPUR: FELCRA Berhad (FELCRA) mengumumkan penjualan Menara FELCRA di Jalan Semarak di sini yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab, berkata entiti milik penuh kerajaan itu ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk penjualan projek berkenaan yang sudah 50 peratus siap.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira FELCRA perlu membelanjakan kira-kira RM400 juta lagi sekiranya mahu meneruskan projek yang bertukar pemaju daripada sebelum ini dan dijangka siap akhir tahun depan
"Pada awalnya FELCRA tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk projek menara ini yang ditanggung pemaju kerana kita memberikan mereka bangunan pejabat tetapi atas sebab tertentu kontrak dengan pemaju ditukar.
"Ini menyebabkan kita sudah membelanjakan RM200 juta setakat ini dan keputusan menjual projek ini terpaksa dilakukan bagi memastikan aliran tunai dalam keadaan baik," katanya.
Projek Menara FELCRA yang dibina di kawasan seluas 1.8 hektar bernilai RM150 juta milik FELCRA itu membabitkan projek pembangunan campuran termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah.
Mengikut perancangan asal, FELCRA tidak sepatutnya membayar untuk projek pembangunan berkenaan kerana semua kos akan ditanggung pemaju.
Pemaju akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman yang dibina di atas tanah milik FELCRA itu.
Mengulas lanjut mengenai anggaran nilai jualan projek berkenaan, Mohd Nageeb berkata, selagi ia dapat dijual melebihi nilai tanah FELCRA iaitu RM150 juta, itu sudah mencukupi tetapi akan melihat tawaran harga yang lebih tinggi.
"Jika diikutkan sudah tentulah kami mahu mahu kekal pada perancangan asal meneruskan projek menara ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan lebih RM1 billion apabila siap kelak namun realitinya ia tidak semudah itu.
"Apa yang lebih penting sekarang untuk pastikan aliran tunai yang sihat kerana kerajaan tidak lagi membiayai kita hari ini.
"Kita perlu menguruskan semuanya sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan termasuk menutup, menjual atau menggabungkan mana-mana anak syarikat yang tidak memberi keuntungan, " katanya.
Mohd Nageeb berkata dalam usaha memulihkan perniagaan hartanah, FELCRA meneruskan projek perumahan yang berpatutan di kawasan luar bandar, perniagaan baja dan stok yang menjana pendapatan serta berpotensi besar untuk berkembang.
"Sebahagian daripada perubahan struktur termasuklah melihat ke dalam penanaman lain seperti buluh dan padi akibat kejatuhan semasa harga getah dan kelapa sawit," katanya. - BH


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top