DALAM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) (dan juga PRU sebelumnya) majoriti rakyat Malaysia memilih semata-mata berdasarkan parti dan perjuangannya dalam konteks nasional
2. Lebih malang, sebahagian besar daripada majoriti ini memilih berdasarkan manfaat material yang ditawarkan menggunakan mentaliti ‘binary’ (1 atau 0), tiada jalur ketiga dalam pertimbangan
3. Namun perkembangan politik terkini semakin kuat membuktikan bahawa kesan geo-politik dunia dan agenda globalisasi/liberalisme sejagat memainkan peranan besar melalui parti-parti politik di Malaysia (dari pihak pemerintah atau pembangkang)
4. Hubungan dengan China, strategi perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), pendirian terhadap isu Palestin, pendekatan terhadap pengaruh Syiah dan Iran, gerakan Kristianisasi global, pembantaian umat Islam di seluruh dunia serta deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap hak asasi manusia adalah antara beberapa perkara yang memberikan kesan langsung terhadap politik negara
5. Semua parti politik tempatan mempunyai pendirian masing-masing yang pelbagai terhadap isu ini. Apabila mereka berkuasa, mereka menggunakan mandat yang diberi rakyat untuk mengukuhkan pendirian dan merealisasikan impian mereka terhadap isu-isu ini
6. Ironiknya, rakyat yang memilih tidak tahu menahu tentang perkara ini. Mereka memilih tanpa mengambil kira perkara di atas, kerana sistem pendidikan, kecenderungan media dan budaya percambahan ilmu rata-rata tidak membantu membina kefahaman ini
7. Lebih parah, pulangan material yang diharapkan dari janji-janji manis PRU juga tidak kesampaian. Ibarat kata pepatah, “Yang dikejar tak dapat (manfaat material), yang dikendong berciciran (hak Islam dan Melayu yang dijamin perlembagaan)”
8. Sungguh rakyat Malaysia perlu menjadi lebih matang. Apabila umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun nanti, keadaan akan lebih mencabar untuk memberikan kefahaman dan kerangka pemikiran besar ini kepada golongan remaja yang baru mengenal dunia
9. Apa pun, kita perlu bermula sekarang dengan membina budaya ilmu politik dan tamadun dunia dalam kerangka perjuangan Islam seawal usia kanak-kanak. Memandangkan ilmu ini terlalu luas dan abstrak, ia perlu dicerakinkan, dipermudah, diviral dan diwacanakan secara meluas oleh satu jalur tarbiah (pendidikan) dan didukung sistem penyiaran media yang berdaya saing
10. Perjalanan panjang ini harus bermula hari ini. Oleh saya dan anda semua!
Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Appear First on Malaysia Terkini