PEMILIHAN PKR | Keputusan pemilihan PKR bagi enam bahagian ditangguhkan akibat masalah teknikal.
Susulan itu jawatankuasa pemilihan pusat PKR tidak dapat mengumumkan keputusan pengiraan undi dalam pemilihan yang dijalankan di Negeri Sembilan dan Melaka hari ini.
Pada kebiasaannya, jawatankuasa tersebut akan mengumumkan keputusan pada malam hari yang sama pengundian berlangsung.
Ketika dihubungi, pengerusi jawatankuasa itu Rashid Din berkata masalah tersebut membabitkan satu cabang di Negeri Sembilan dan lima daripada enam cabang di Melaka.
Malaysiakini difahamkan isu itu mungkin disebabkan oleh komputer tablet yang digunakan untuk e-undi, kehabisan kuota data internet.
Akibatnya, undi tidak dapat dipindahkan kepada pelayar.
Ketika ditanya untuk mengesahkan perkara itu, Rashid berkata ia bukan punca utama tetapi boleh menjadi faktor penyumbang.
"Bukan bukan bukan. Itu salah satu sebab yang mungkin.
"Kami tengah bedah (siasat)," katanya kepada Malaysiakini.
Berdasarkan satu kenyataan itu, calon kepada timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa beliau telah menang di kedua-dua negeri itu.
Bagaimanapun, tiada angka yang diumumkan oleh jawatankuasa berkenaan pada ketika berita ini ditulis.
Hari ini, PKR di Perlis dan enam lagi bahagian di Selangor mengadakan undian bagi pemilihan parti itu.
Jika tiada sebarang isu teknikal, keputusan pemilihan hari ini dijangka akan diumumkan malam ini. - MK
Appear First on Malaysia Terkini