Persahabatan dan Kehidupan Dalam Politik


OLEH:Ab Jalil Backer

Persahabatan dan Kehidupan Dalam Politik
1. Saya pernah berada di pihak Tun Mahathir menentang Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya tidak memutuskan sebarang persahabatan dengan kawan-kawan berlainan aliran. Saya boleh beritahu anda “penyokong kuat” Abdullah ketika itu lebih baik dari sebahagian “penyokong kuat Mahathir” hari ini.
2. Apabila saya menyokong kerajaan BN pimpinan Najib Razak, saya tidak pernah memutuskan persahabatan dengan kawan-kawan sebelah Tun Mahathir.
3. Kadang kala saya hanya mengelak untuk bertemu kerana mereka mengambil kesempatan menukar perbincangan antara kawan kepada status politik yang menyusahkan saya kemudiannya.
4. Kawan, sahabat dan "guru" tetap kekal walau apa pegangan politik kita. Cuma kadang-kadang bila ada kawan dan sahabat memutuskan tidak lagi berhubung kerana perbezaan kem politik, maka saya terima seadanya.
5. Jarang sekali (hampir tidak pernah rasanya) saya menyerang mereka secara peribadi atau menggelar mereka dengan panggilan yang jelik, apatah lagi kepada sahabat dan kawan yang lebih tua.
6. Justeru jika ada kawan-kawan atau sahabat yang kini sudah mendapat jawatan dalam kerajaan baharu hendak menunjuk ego dan sombong dalam tulisan mereka sambil mendabik dada, dan memutuskan persahabatan selepas menang, itu hak mereka.
7. Tuhan bukan sahaja menguji kita dengan kesusahan tetapi juga dengan kesenangan, pangkat dan darjat.
8. Saya ada pengalaman bersama bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo selepas beliau bukan lagi Menteri Besar. Apabila beliau naik dan turun mahkamah dan ke penjara saya tetap bersama beliau.
9. Saya tidak pernah dapat apa-apa projek jutaan ringgit dari beliau.Namun saya hadir hampir 98% perbicaraan beliau dan waktu lawatan ke penjara beliau.
10. Ada orang bertanya tidak malukah? Saya tidak mahu berhujah soal benar atau salah. Saya cuma hanya akan berkata kita tidak tinggal sahabat dan kawan ketika susah dan dilanda musibah. Jika kita tidak boleh membantu janganlah, kita memijak orang yang jatuh.
11. Demikianlah sekarang apabila Najib Razak didakwa. Saya tidak rapat dengan Najib Razak. Bertentangan dengan tanggapan umum, Najib Razak tidak kenal saya. Beliau juga tidak memberi saya apa-apa jawatan, apatah lagi projek puluhan juta ringgit seperti mana tanggapan umum.
12. Saya tidak akan berkata Najib Razak maksum tanpa sebarang kesalahan, namun saya tidak akan menjadi seperti Johari Ghani dan Annuar Musa.
13. Percayalah hidup kita bukan sekadar soal benar atau salah, menang atau kalah.
14. Namun pemikiran kita manusia biasa tidak sama dengan pemikiran orang yang telah diuji Allah dengan kuasa dan kekayaan.
15. Biarlah jika ada arnab mahu mendabik dada atas kemenangannya; atau ada kura-kura sudah merasa hebat kerana dapat memanjat pokok yang tumbang.
Cukuplah saya sekadar menjadi manusia biasa.


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top