KUALA LUMPUR – Beberapa wartawan melahirkan rasa kecewa, terkejut dan marah dengan tindakan Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang dirasakan biadab ketika berdepan dengan media.
Dalam posting wartawan Penolong Ketua Biro Kosmo Putrajaya, Junhairi Alyasa meluahkan rasa kecewa sikap yang ditonjolkan oleh SUA berkenaan ketika Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) hari ini.
Kata Junhairi, sejurus selepas majlis itu, sekumpulan wartawan yang terdiri daripada Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo dan Berita Harian bergerak menuju ke bilik sidang media seperti yang telah di nyatakan penganjur.
Mereka telah diberitahu bahawa menteri terpaksa bergegas ke urusan lain dan hanya akan sekadar membaca kenyataan sebelum beredar pergi, sebarang soalan tidak dibenarkan.
“Apabila kami buat keputusan untuk keluar daripada bilik tersebut, tiba-tiba SUA Rina Harun datang kepada kami dan meminta balik teks ucapan yang dibacakan dalam majlis konvokesyen yang turut dihadiri lebih 6,000 orang termasuk graduan, ibu bapa serta kakitangan KUPTM.
“Kami mempersoal mengapa SUA ini mengambil kembali teks ucapan daripada kami. Dia juga bertindak ‘merampas’ teks ucapan itu daripada salah seorang wartawan kami sehingga berlaku sedikit kekecohan.
“Tidak pernah berlaku sepanjang kerjaya kami diperlakukan sedemikian rupa kerana selalunya SUA akan berjumpa dengan kami dan meminta bahagian yang tidak sepatutnya ditulis.
“Tindakan menarik balik keseluruhan teks tersebut kononnya atas arahan menteri juga sangat menjengkelkan,” katanya dalam laman Facebook selain daripada di kongsi oleh rakan-rakan media yang lain.
Jelas Junhairi, pihaknya mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh SUA berkenaan kerana terlepas pandang tentang beberapa perkara termasuk TN50.
“SUA ini tidak berbudi bahasa dan tidak mempunyai pengalaman bagaimana mahu berurusan dengan pihak media.
“Jika tidak mahu kami tulis, lebih baik selepas ini jangan jemput pihak media lagi,” tegasnya.
Kenyataan Junhairi mendapat komen serta like dari ratusan pengamal media yang turut melahirkan rasa kecewa dan marah kerana tindakan SUA itu.
Malah Gerakan Media Merdeka (GERAMM) juga mengecam tindakan SUA itu dengan menyifatkan insiden sebegini tidak seharusnya berlaku antara pegawai kerajaan yang mengendalikan media.
“Hubungan antara pegawai kerajaan khasnya SUA dengan media sepatutnya mesra dan saling memerlukan antara satu sama lain.
“Pihak berwajib dalam kerajaan diminta supaya mengambil perhatian terhadap perkara ini agar masalah komunikasi seperti ini tidak lagi berlaku,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Usaha MalaysiaGazette untuk mendapatkan penjelasan dari pihak SUA juga gagal kerana tidak mendapat reaksi pesanan Whatsapp sebentar tadi. – MalaysiaGazette
Appear First on Malaysia Terkini