KUALA LUMPUR - ‘Perang’ melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seperti tiada kesudahannya.
Dalam status terbaru Facebooknya, Najib menasihatkan Guan Eng supaya bersikap jujur terutamanya dalam fakta melibatkan penjualan tanah di Pulau Pinang sepanjang beliau menjadi ketua menteri.
Menurut Najib, Ahli Parlimen Bagan itu kini bukan lagi ahli politik pembangkang sebaliknya menanggung tanggungjawab berat sebagai menteri kewangan negara.
“Guan Eng masih tidak berpuas hati. Dia mengadu bahawa saya telah menyerang secara peribadi setelah saya nyatakan bahawa langkah menjual aset sebagai cara untuk menampung kos kerajaan bukan pandai pun.
“Melalui satu kenyataan akhbar, Guan Eng berkata semasa dia menjawat jawatan sebagai ketua menteri selama 10 tahun, kerajaan Pulau Pinang hanya menjual 43 hektar tanah. Tidak perlu untuk mengulas panjang lebar jika mahu mematah ketidakjujuran beliau.
“Kita hanya perlu merujuk kepada kenyataan Guan Eng sendiri pada masa silam di mana hanya satu penjualan tanah ini (dijual pada 2014) sahaja sudah 99.2 hektar. Biar Guan Eng bongkarkan Guan Eng,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan beliau sudah menjual, memberi tanah atau hak tanah milik kerajaan negeri sebanyak 2,337.5 hektar, bukan hanya 43 hektar seperti didakwanya.
Jelasnya, ia termasuklah dua projek terowong yang kini tiada apa boleh dilihat dan projek lain di mana hak penambakan tanah diberi.
“Guan Eng juga masih mahu meraih pujian dengan berkata dia telah mengurangkan hutang Kerajaan Pulau Pinang sebanyak 90 peratus padahal ia usaha kerajaan pusat BN pada tahun 2010.
“Kerajaan pusat memberi bantuan kepada kerajaan negeri dengan menstruktur semula aset air mereka sekaligus telah mengurangkan hutang mereka sebanyak RM655 juta iaitu 95 peratus dari hutang kerajaan Pulau Pinang pada masa itu.
“Guan Eng sendiri juga pernah mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai perkara ini bagaimana kerajaan pusat di bawah BN telah menolong Pulau Pinang untuk mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Najib turut menyindir Guan Eng dengan mengatakan ‘internet tidak pernah lupa’.
“Jika fakta yang sangat nyata dan ketara ini masih mahu tidak jujur, apa lagi yang mereka tidak berani untuk terus berbohong termasuk hal kewangan negara?,” soalnya. - SH
Appear First on Malaysia Terkini