Biarpun saya setuju secara amnya perutusan Tun Dr Mahathir baru-baru ini bahawa orang Melayu patut bekerja sekuat orang lain dan tahu tanggungjawab masing-masing. saya tidak bersetuju beliau menggunakan isu pembayaran balik PTPTN sebagai contoh untuk kata semua kaum Melayu sebagai malas, tidak bertanggungjawab dan tidak lagi dipercayai oleh bank-bank.
Ya, sejak 10 tahun dahulu, prestasi pembayaran balik PTPTN tidak begitu baik tetapi antara sebab utama ialah hasutan pihak Pakatan yang sekian lama telah mengalakkan peminjam untuk tidak membayar balik kerana sering berjanji dan melaung janji manis pilihanraya bahawa semua hutang PTPTN akan dimansuhkan jika mereka menang dalam PRU.
Keadaan yang sama berlaku dengan saman AES di mana Pakatan, dengan janji-janji manis mereka, juga telah mengalakkan orang ramai untuk tidak membayar.
Dalam isu PTPTN, bukan sahaja kaum Melayu tidak membayar tetapi ramai juga peminjam dari kalangan kaum-kaum lain yang menerima pinjaman PTPTN kerana termakan hasutan Pakatan.
Hakikatnya, Pakatan yang merosakkan PTPTN dan mereka tidak patut menggunakan isu ini sebagai alasan untuk menyalahkan satu kaum sahaja.
Maka, Pakatan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan ramai yang tak mahu membayar pinjaman PTPTN.
Oleh kerana Pakatan tidak akan memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan sebelum ini, saya menyeru kepada semua peminjam tak kira bangsa termasuk orang Melayu untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar boleh mendapat bantuan PTPTN pada masa depan.
-Najib Razak
Appear First on Malaysia Terkini