10 malam terakhir Ramadan; malam ganjil 25 Ramadan; sedang beribadah berzikir menunggu waktu Subuh; ditemui dalam keadaan bersujud di atas sejadah… tiada apa yang lebih baik jika ditarik nyawa dalam keadaan sebegitu rupa.
Itu yang terjadi kepada seorang warga emas Yaacob Che Teh, 61 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh isterinya di kediaman mereka di Pandamaran Jaya, Klang.
Menurut anaknya Mohd Faisal Yaacob, 29, dia sempat menjenguk bapanya di tempat solat ketika bangun untuk bersahur dan kelihatan bapanya sedang berzikir di atas sejadah menunggu waktu Subuh.
“Itu memang amalannya ketika menunggu waktu Subuh sebelum ke masjid seawal 5.00 pagi lagi,” kata Faisal.
Dia tidak menyedari apa-apa yang pelik ketika itu. Selepas bersahur, dia sekali lagi menjenguk bapanya di tempat solat dan melihat bapanya tidur dalam keadaan bersujud.
“Mungkin papa penat sangat, saya biarkan dia tidur begitu tanpa mengejutnya sebelum keluar ke laman rumah mengambil angin,” tambah Faisal.
Yaacob ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya yang cuba mengejutnya dari tidur bersujud atas sejadah.
Faisal berkata, “Emak saya berasa hairan mengapa papa masih belum ke masjid walaupun sudah jam 5 lebih. Kebiasaannya waktu begini dia sudah di masjid. Lantas emak mengejutkan papa, namun tidak sedarkan diri.”
Faisal kemudian melakukan CPR sebelum membawa bapanya ke hospital.
“Tapi masa saya angkat dan memeluk papa, dahi dan badannya sudah pun sejuk,” jelas Faisal.
Bapanya kemudian disahkan meninggal dunia pada 5.45 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Faisal menyedari sedikit kelainan tingkah laku bapanya seminggu sebelum arwah meninggal dunia.
“Papa memeluk dan mendukung cucunya sambil dibawa berjalan-jalan. Papa selalunya tidak memanjakan cucu begitu,” kata Faisal.
Menurut anak keempat dari tujuh adik-beradik itu, 2,3 hari sebelum kematian, bapanya makan dengan kuantiti yang sedikit ketika berbuka dan bersahur.
“Semakin hari semakin sedikit papa makan walaupun seharian suntuk berpuasa,” jelas Faisal.
Tambahnya, “Selain itu, papa juga ada menyebut mengenai Husnul Khatimah (pengakhiran yang baik) selepas menonton tazkirah di televisyen minggu lalu.”
Ketika itu, bapanya mengeluh mengenangkan bagaimana kematiannya nanti, seperti memberi isyarat bahawa pengakhirannya hampir tiba.
“Alhamdulillah, saya saksikan sendiri bagaimana mudah dan tenangnya papa pergi. Papa sedang berzikir menunggu Subuh dan dalam keadaan bersujud di atas sejadah, insya Allah, papa pergi dengan baik,” ujar Faisal dengan tenang dan senyum walaupun matanya masih berkaca.
Manakala menurut imam Masjid Ar-Rahman Pandamaran Jaya, Muhamad Hakimi Hussain, allahyarham merupakan ahli kariah yang sentiasa bersolat jemaah di masjid.
“Kebiasaannya dia lebih awal berada di masjid dari yang lain. Termasuk juga di majlis-majlis melibatkan ahli kariah,” kata Hakimi yang juga sahabat kepada Yaacob.
Dia turut menasihatkan Faisal mengikuti jejak langkah bapanya yang mengamalkan solat jemaah di masjid.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi majlis tahlil di kediaman Yaacob apabila Hakimi terpaksa memberhentikan seketika bacaan tahlil kerana terlalu sedih.
Suasana sama berulang lagi ketika Hakimi membaca doa selepas solat jenazah di masjid.
Suasana sedih dan sayu menyelubungi ruang solat masjid ketika suara Hakimi tersangkut-sangkut memohon keampunan untuk sahabatnya itu.
“Tiada yang lebih baik daripada ini,” ujar Faisal ringkas selepas solat jenazah di masjid itu.
Rata-rata ahli keluarga menghadapi kematian Yaacob dengan tenang kerana pemergiannya dalam keadaan yang baik.
Insya Allah, Husnul Khatimah.
Yaacob disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pendamar selepas Zohor.
-MYNEWSHUB
Video dibawah hanya Sebagai Hiasan.
Loading...
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tIu7zr
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear First on Malaysia Terkini