Tiba-tiba LGBT DIANGKAT jadi AGENDA Nasional, Laknat Allah tidak disebut sepatah pun


KEPINCANGAN isu yang membabitkan golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual & transgender) semakin ketara dan dilihat sebagai satu ancaman yang merunsingkan. Tidak hanya tekanan yang dikenakan ke atas seorang doktor iaitu Nur Ilyani susulan surat terbuka beliau yang menyanggah Marina Mahathir kerana menuntut hak sama rata ke atas LGBT.
Malah begitu juga dengan pendekatan Menteri Agama, Datuk Dr Mujahid yang mengadakan sidang media selepas pertemuan dengan aktivis LGBT iaitu Nisha Ayub baru-baru ini. Hal ini menjadi polemik apabila wujudnya suasana keraian ke atas golongan berkenaan.
Secara dasarnya, perlu difahami bahawa kelakuan golongan LGBT ini merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Ini kerana ia bercanggah dengan fitrah sehinggakan ada yang sanggup mengubah ciptaan Allah.
Walhal dalam Islam, dengan hanya berkelakuan seperti jantina yang berlainan dari sudut gerak geri termasuk memakai pakaian yang berlawanan jantina pun akan dilaknat oleh Allah apatah lagi jika melakukan seks songsang serta mengubah kelamin dengan pembedahan.
Ancaman ke atas perkara tersebut dapat difahami menerusi kemurkaan Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Ibnu Abbas R.A :
لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ، وَقَالَ: «أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ»
Maksudnya:”Nabi SAW melaknat golongan pondan kalangan lelaki dan daripada golongan perempuan yang menyerupai lelaki. Baginda SAW bersabda: Usir mereka dari rumah-rumah kamu”. (Riwayat al-Bukhari)
Kecelaruan kefahaman yang menyamakan antara khunsa dengan golongan transgender adalah satu kedangkalan. Ini kerana khunsa yang memiliki dua kelamin sejak lahir merupakan asal kejadian yang berlaku ke atas diri mereka.
Ia berbeza dengan transgender yang mengubah fitrah asal sehingga ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk mengubah kelamin.
Malah dalam permasalahan khunsa, Islam meletakkan batasan agar mesti ditetapkan satu jantina sahaja sama ada menerusi kecenderungan fitrah perilaku atau juga berdasarkan fungsi daripada salah satu alat kelaminnya sebagaimana perbahasan oleh para ulama terdahulu.
Larangan mengubah ciptaan Allah ini ditegaskan melalui hadis riwayat Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, orang yang menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan dan golongan yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari) 
Oleh itu, pendekatan yang dilakukan mesti diperhalusi dengan baik agar tidak terlalu longgar sebagaimana tindakan kepimpinan kerajaan persekutuan yang dilihat memberikan keuntungan dan promosi serta pengiktirafan kepada pergerakan LGBT yang lebih selesa sekarang.
Secara tidak langsung, ia telah membuka pintu fitnah dengan memberi ruang kepada mereka mendapat tempat seolah-olah tindakan mereka adalah benar. Inilah kerugian ummah apabila pemimpin umat Islam sendiri secara sedar telah membawa masuk virus jahiliah dalam kelompok Islam sendiri yang akhirnya merugikan Islam.
Keadaan ini sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab R.A:
تنقض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لا يعرف الجاهلية
Maksudnya: “Terungkai ikatan-ikatan Islam satu persatu apabila lahir dalam kelompok Islam mereka yang tidak mengenali jahiliah”.
Jika diteliti kepada perundangan di Malaysia, kelakuan golongan LGBT ini merupakan satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus melibatkan transeksual.
Contohnya Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) yang memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25] dan musahaqah (persetubuhan antara perempuan dengan perempuan) [Seksyen 26].
Malah, umat Islam di setiap negeri terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada tahun 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram pada pandangan syarak.
Oleh yang demikian, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan tersebut adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997].
Dalam hal ini, golongan LGBT boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu aktivis dan ahli biasa. Aktivis ialah mereka yang bertindak secara terang-terangan dan mempromosikan kelakuan ini di samping memperjuangkan tuntutan LGBT yang mereka mahukan.
Adapun ahli biasa adalah mereka yang berada dalam dunia mereka sahaja tanpa ekstrim mempromosi aktiviti songsang mereka. Pembahagian ini sebagaimana juga diambil dari perbahasan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya جريمة الردة وعقوبتها yang membahagikan golongan murtad kepada ردة مجردة (yang melibatkan dirinya sahaja) dan ردة مغلظة (yang menjadi aktivis dalam menyebarkan agenda riddah kepada masyarakat awam).
Dalam pembahagian tersebut menunjukkan perbezaan sikap pemimpin dan masyarakat dalam berhadapan dengan mereka, iaitu sekiranya:
i. Aktivis – hendaklah tegas dengan tindakan perundangan agar membendung tindakan mereka yang boleh merosakkan masyarakat awam. ii. Non aktivis – berhemah dalam pendekatan bagi mengubati dan mendidik mereka kembali kepada fitrah asal.
Sehubungan itu, memberi ruang kepada aktivis LGBT adalah satu tindakan yang tidak tepat malah merugikan Islam. Sedangkan dalam hal ehwal agama Islam, apabila ada golongan yang mempermainkan serta memperlekehkan agama, umat Islam dilarang berada dengan kelompok mereka.
Kelompok LGBT yang bergerak secara organisasi dan membuat promosi murahan di media sosial adalah bercanggah dengan Syariat Islam.
Pemimpin dan umat Islam mesti bertegas dalam hal ini sebagaimana pendekatan yang diambil oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ke atas seorang yang turut serta dalam majlis maksiat yang dihidangi arak tanpa dia melakukan apa-apa pencegahan kemungkaran, dengan mengenakan hukuman ke atasnya berhujahkan firman Allah SWT:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Al-Quran, iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.” [Al-Nisa’:140]
Berdasarkan kepada penghujahan di atas, Dewan Ulamak PAS Pusat berpandangan dalam polemik pendekatan ke atas golongan LGBT ialah melalui penyelesaian berikut:
i. LGBT dilihat sebagai pergerakan yang tersusun dan ianya merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan sosial yang mesti dicegah dan dihentikan. Semua pihak mesti bertegas dalam kesepakatan ini bahawa perbuatan mereka adalah dilarang oleh agama.
ii. Dengan perundangan yang sedia ada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, tindakan tegas wajib diambil ke atas aktivis LGBT yang terang-terangan mempromosi kelakuan songsang mereka bagi mengelakkan ianya mempengaruhi masyarakat umum.
iii. Bagi mereka yang terjebak dengan LGBT tanpa menjadi aktivis dinasihatkan untuk tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat agama dalam menyelesaikan kekeliruan yang menyebabkan mereka mengalami masalah kecelaruan identiti. Pihak yang berwajib dan para pendakwah juga hendaklah meneruskan kerja-kerja dakwah menyeru golongan ini agar kembali kepada fitrah asal.
iv. Tidak wajar sebarang ruang diberikan kepada aktivis LGBT ini dalam semua perkara yang diperjuangkan oleh mereka. Pihak kerajaan mesti menutup ruang perjuangan mereka dan mengambil tidakan yang tegas bagi mempastikan agenda jahiliah ini tidak menular dan mendapat sambutan pihak yang berkepentingan.
Mohd Asri Mat Daud
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat
Peringatan: Tulisan ini adalah pendapat penulis 


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top