(Tak Setuju Dengan Tun M) Senator PKR cadang Nazri Aziz ganti Rahim Nor


KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta menimbang semula keputusan melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu untuk proses keamanan di selatan Thailand. 

Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata tindakan melantik Abdul Rahim adalah tidak wajar kerana rekod bekas Ketua Polis Negara itu yang kurang meyakinkan dan dilihat tidak bersesuaian untuk memegang jawatan tersebut.

"Bagi saya Abdul Rahim Noor tidak mempunyai integriti dan beliau seorang individu yang berjawatan tinggi pada suatu ketika telah disabitkan kesalahan jenayah yang serius setelah mencederakan (bekas) pemimpin tertinggi negara.

"Disebabkan kes berkenaan beliau (Abdul Rahim) didakwa di Mahkamah Jenayah. Saya merasakan untuk proses damai yang efektif antara prasyarat utama untuk seorang yang dilantik sebagai orang tengah harus mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut bersetuju dengan bantahan yang dibuat Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menerusi catatan di Twitternya yang menyifatkan Abdul Rahim sebagai penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

Nurul Izzah dipercayai merujuk kepada peristiwa “mata lebam” apabila bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipukul ketika dalam tahanan polis selepas pemecatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Abdul Rahim menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim sebagai fasilitator baharu untuk proses pendamaian di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) khususnya di selatan Thailand.

Abdul Rahim mengesahkan sendiri pelantikan tersebut ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Mohd Yusmaidi yang mengangkat sumpah sebagai senator semalam turut mencadangkan beberapa nama untuk dilantik sebagai fasilitator proses damai berkenaan antaranya bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR. – Bernama


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top