Datuk Bandar KL ‘dipaksa’ undur oleh Kerajaan Sekular PH


KUALA LUMPUR, 18 Zulhijjah 1439H, Khamis – “Saya ada dengar beliau dinasihatkan untuk bersara awal,” kata Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai mengulas desas desus dan spekulasi bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, akan diganti.
Mhd Amin dikatakan diarah menamatkan kontrak dan bersara awal selepas Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai parti berkiblatkan liberal dan sekular, DAP, dan menguasai Putrajaya, mahu meletakkan calon lain menggantikannya.
Dan, Bernama hari ini melaporkan antara individu yang bakal menggantikan Mhd Amin, 63 tahun, ialah bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12.
Mengikut laporan, Mhd Amin didakwa gagal menjalankan tanggungjawabnya dan hanya menjadi ‘pak turut’ kepada menteri.
Bernama memetik Kok Wai sebagai berkata:
“Datuk Bandar harus digantikan dengan calon yang boleh serasi dengan Kementerian Wilayah dari segi pembangunan ibu kota dan bukan hanya menjadi ‘pak turut’ kepada menteri sahaja.”
Pengerusi Kebangsaan DAP itu yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kelibat Mhd Amin dalam beberapa majlis khas DBKL juga tidak kelihatan sejak kebelakangan ini.
Tanpa mengiyakan atau menafikan Datuk Bandar baharu akan dilantik, beliau dilaporkan berkata, segala keputusan mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur tertakluk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Bernama melaporkan, Mhd Amin sepatutnya bersara pada 18 Julai 2017, tetapi perkhidmatannya disambung kerajaan terdahulu secara kontrak selama dua tahun sehingga Julai 2019.
Namun, Mhd Amin Nordin ketika dihubungi media baru-baru ini terus mengunci mulut mengenai perkara ini.
“Anda akan tahu kemudian, tunggu dan lihat sahaja,” katanya ringkas.
Mhd Amin, Datuk Bandar ke-11 mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan perbandaran, terutama di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai timbalan pengarah di Jabatan Landskap DBKL pada 1978 ketika berusia 22 tahun.
Beliau juga adalah antara pegawai yang pernah berkhidmat di bawah pentadbiran seramai 10 orang Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk Allahyarham Tan Sri Elyas Omar sebagai pegawai khasnya selama empat tahun.
Terdapat desas-desus bahawa sudah ada lima nama disenarai pendek untuk memikul tanggungjawab Datuk Bandar ke-12.
Sementara, Nor Hisham pula bersara pada Mei tahun lalu selepas dua tahun memegang jawatan di Subang Jaya sejak 2014 dan disambung menerusi kontrak selama satu tahun atas kecemerlangan beliau di MPSJ.
Beliau mempunyai pengalaman selama 37 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri antaranya Pejabat Tanah Daerah Gombak, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. - Ismaweb


Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top