Dakwaan LGE RM18b DIROMPAK tidak berasas


Oleh:Najib Razak

Tuduhan Lim Guan Eng kononnya BN merompak RM18 bilion daripada wang tuntutan GST adalah tidak berasas sama sekali. Sekali lagi ia adalah kenyataan politik yang tidak benar, sama seperti bagaimana Guan Eng membisu dan tidak berani memberi jawapan kepada syarikat paip gas milik kerajaan China yang membuat kenyataan global bahawa Guan Eng dan Tony Pua menipu dan cuba memfitnah mereka dengan mendakwa syarikat itu berpakat dengan kerajaan BN dalam ‘penggubahan wang haram.’

Sebagaimana kutipan cukai dan pendapatan lain, kesemua kutipan GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan. Dari situ, dana dibayar ke dalam akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan. Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014, yang dibentangkan di Parlimen di mana pemimpin PH juga hadir termasuk Guan Eng sendiri, maka sudah tentu beliau tahu.

Justeru, tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana kutipan wang GST semua dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan.

Di bawah sistem GST, pemilik perniagaan boleh menuntut cukai input GST mereka apabila mereka membuat jualan, mengutip GST daripada pengguna akhir dan membayar GST yang dikutip kepada kerajaan.

Apa yang mungkin terjadi ialah, apabila kerajaan PH mensifarkan GST pada 1 Jun 2018, perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST mereka serta merta menyebabkan semua peniaga-peniaga meluru untuk membuat tuntutan cukai input GST, sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya

Oleh kerana kerajaan PH kehilangan pendapatan bagi tiga bulan apabila GST disifarkan dan SST belum lagi dilaksanakan, kerajaan PH mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya digunakan untuk disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

Akibatnya, kerajaan PH mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan-tuntutan GST yang begitu banyak dan dibuat sekaligus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

Sebagaimana biasa, kesalahan itu dituding ke arah kerajaan BN walaupun ia adalah kesilapan kerajaan PH sendiri.

Dakwaan kononnya BN ‘merompak’ RM18 bilion wang GST mungkin dapat dimasukkan sekali dengan ‘hutang negara RM1 trilion’ yang digunakan sebagai alasan PH untuk tidak melaksanakan janji manifesto mereka, membatalkan atau mengurangkan bantuan kepada rakyat atau membayar tuntutan GST kepada pemilik perniagaan.

Memandangkan laporan polis dan SPRM sudah dibuat dan PAC menyatakan akan membuat siasatan terhadap dakwaan ‘rompakan’ RM18 bilion ini, saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya sebagai bekas Menteri Kewangan agar kebenaran dapat didedahkan.

Jika dakwaan ini didapati tidak benar, maka Lim Guan Eng telah memperdaya Parlimen ketika beliau membuat tuduhan serius itu. Apabila itu berlaku, saya amat berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Lim Guan Eng kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan yang bermotifkan politik.




Appear First on Malaysia Terkini
Loading...

Artikel Malaysia Terkini Lainnya :

Scroll to top